Monday 5 January 2015

Sejarah Penubuhan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia

Pada hari ini dalam tahun 1975, Perdana Menteri Tun Abdul Razak merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Kesatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Mesyuarat itu telah dihadiri oleh seramai 400 Penghulu dan Penggawa dari seluruh Semenanjung Malaysia.Turut hadir dalam upacara tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kamarudin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris. Kesatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia telah ditubuhkan pada  14 Oktober 1974. Tujuan penubuhannya adalah untuk membaiki taraf serta gaji Penghulu dan Penggawa serta menjadi perantaraan di antara rakyat dengan kerajaan. Institusi Penghulu dan Penggawa memang telah lama wujud di Tanah Melayu. Dalam sistem pentadbiran tradisional, Penghulu dan Penggawa diberi kuasa untuk memerintah unit terkecil dalam sesebuah negeri, iaitu kampung. Malah semasa kerajaan Inggeris menjajah Tanah Melayu pada tahun 1874, institusi itu terus wujud tetapi tidak lagi mempunyai otonomi yang luas kerana Penghulu dan Penggawa bertanggungjawab kepada Residen British ataupun Pegawai Daerah. Namun sejak negara mencapai kemerdekaan hinggalah hari ini Penghulu dan Penggawa masih memainkan peranan penting dalam jentera pentadbiran kerajaan tempatan.

Sumber-Arkib Negara Malaysia

No comments:

Post a Comment