UCAPAN SEMBAH TAHNIAH
SEMPENA HARI KEPUTERAAN DYMM SULTAN KEDAH
DI BALAI PENGHADAPAN, ISTANA ANAK BUKIT
PADA HARI AHAD, 18 JANUARI 2015Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh
Segala
puji-pujian bagi Allah SWT, selawat serta salam kepada Junjungan Besar,
Nabi Muhammad SAW dan ahli-ahli keluarganya serta para sahabat.
Mengadap
Yang
Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum
Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku
Sultan Kedah
Dan
Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Seri Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff, Tunku Puan Temenggong Kedah
Yang
Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum
Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan
Kedah dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri DiRaja Puan Seri Dato’ Nora
Binti Abdullah, Toh Puan Laksamana Kedah
Yang Teramat Mulia
Tunku Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku
Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Panglima Besar Kedah, Ahli Jemaah
Pemangku Sultan Kedah
Duli Yang Amat Mulia Dato' Seri DiRaja Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan.
Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.
1.
Patik bagi pihak seluruh Rakyat jelata, barisan kepimpinan dan
pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, pihak Badan-badan
Berkanun, para anggota Pasukan-pasukan Keselamatan mohon merafak sembah
tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu’tasimu Billahi
Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan
Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman atas Ulangtahun
Keputeraan Baginda yang ke-87.
2. Patik dan seluruh rakyat jelata
amat berbangga dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan. Patik-patik sekalian
senantiasa mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha
Mulia Tuanku Sultanah serta kerabat DiRaja Negeri Kedah dikurniakan dan
dilimpahi rahmat, kemuliaan serta kesihatan yang baik hendaknya.
3.
Sesungguhnya bersemayamnya Kebawah Duli Tuanku di atas takhta selama 57
tahun, sekaligus menjadi antara Raja yang paling lama memerintah
mana-mana negeri di dunia adalah hanya dengan barakah dan keredhaan
Allah SWT jua.
4. Dengan bernaungnya Negeri Kedah di bawah
barakah dan keredhaan itu, maka aman dan sejahteralah seluruh Rakyatnya,
in shaa Allah.
Sutera songket panjang sembilan
Panjang sutera kepalanya
Tuanku laksana permata intan
Rakyat menumpang akan cahayanya5.
Ampun Tunku, sempena Majlis Menyambut Keputeraan Baginda yang ke 87
ini, patik mohon perkenan Tunku untuk menyembah laporan keadaan di
Negeri Kedah Darul Aman sehingga kini, dan juga perancangan yang disusun
oleh Kerajaan Negeri bagi menjamin masa depan yang cerah.
6.
Suka patik laporkan bahawa keadaan keselamatan negeri adalah pada tahap
yang baik, Rakyat hidup aman dan damai, dan hubungan antara Rakyat yang
berbilang kaum, agama dan kedudukan sosial memuaskan.
7. Dengan
wujudnya suasana begini, maka Rakyat juga dapat mencari rezeki untuk
meningkatkan pendapatan, membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang
sentosa, cukup makan, anak-anak dapat ke sekolah untuk menimba ilmu
pengetahuan, jaga kesihatan, dan secara keseluruhannya hidup aman dan
makmur.
8. Walaupun begitu, ada lagi segelintir masyarakat yang
masih tertinggal dari arus pembangunan perdana. Wujud di kalangan
masyarakat Rakyat yang hidup susah, tiada mata pencarian tetap,
terlantar sakit di rumah tanpa perhatian perubatan yang memuaskan.
9.
Ada juga anak muda yang menganggur – kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang. Tiada rumah sendiri, terpaksa menumpang rumah ibubapa yang
juga hidup susah, atau membayar sewa kepada tuan punya rumah.
10.
Akibat tekanan hidup susah ini, maka kadangkala anak sendiri juga tidak
habis sekolah, maka berlakulah kitaran ganas yang memburukkan lagi
keadaan hidup mereka.
11. Tentunya golongan yang kurang bernasib baik seperti ini perlu pembelaan.
12.
Selain itu, ada di kalangan anak-anak muda kita yang menganggur dan
tidak dapat hidup selesa dan mendirikan rumahtangga. Mereka ini
memerlukan peluang-peluang pekerjaan, dan peluang untuk memiliki rumah
yang menepati kemampuan.
13. Manakala ada pula pihak-pihak yang
berminat untuk berniaga tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi.
Mereka ini tentunya perlu diupayakan supaya dapat menyara diri selain
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
14. Walaupun
Kerajaan Persekutuan telah menyediakan perkhidmatan pendidikan sampai ke
peringkat tertinggi diseluruh negara, tetapi ada juga graduan dengan
kelayakan akademik tinggi tidak dapat pekerjaan yang menepati pencapaian
akademik mereka.
15. Maka Kedah kerugian jika anak Kedah yang berkelayakan ini terpaksa berhijrah ke negeri atau negara lain untuk menyara hidup.
16. Kerajaan Tuanku berpendirian bahawa Rakyat perlu diupayakan untuk mengubah nasib diri mereka sendiri.
17.
Pelaburan yang paling menguntungkan adalah pendidikan. Ianya mampu
membuka luas peluang untuk berjaya dalam apa bidang sekalipun.
Contohnya, seorang anak penoreh getah di Pokok Sena mampu menjadi pakar
perubatan yang berjaya kerana pendidikan.
18. Contoh seperti
inilah yang mendorong Kerajaan Tuanku untuk menitikberatkan pendidikan.
Oleh itu buat julung-julung kalinya, Kerajaan Tuanku telah
memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menyediakan perkhidmatan
tuisyen atas talian secara percuma yang akan memanfaatkan hampir 400,000
pelajar sekolah rendah dan menengah.
19. Melentur buluh biar
dari rebungnya. Patik yakin dengan asas pendidikan yang kukuh, anak-anak
Kedah akan kian terpelajar dan dapat menyumbang kepada kemakmuran
negeri akhirnya, in shaa Allah.
20. Ampun Tunku, Kerajaan Tuanku
percaya kepada pendekatan menyediakan kail untuk memancing ikan.
Pertumbuhan ekonomi negeri mestilah memberi faedah kepada Rakyat secara
langsung mahupun tidak langsung.
21. Oleh itu, setiap projek
pembangunan yang Kerajaan Tuanku rancang tidak hanya menarik kapital
kepada negeri, tetapi juga memberi impak yang besar kepada ekonomi
Rakyat.
22. Atas strategi itulah enam projek pemangkin telah
dikenalpasti, termasuk cadangan untuk membina Lapangan Terbang
Antarabangsa Kulim, dikenali dengan nama timangannya KXP.
23. Sesungguhnya projek ikonik seperti ini akan menyemarakkan ekonomi Rakyat, terutamanya di luar bandar.
24.
Peluang pekerjaan berpendapatan tinggi tidak hanya akanditawarkan oleh
operasi KXP, tetapi juga oleh industri pembuatan dan perkhidmatan
penerbangan yang akan ditempatkan bersebelahan dengan lapangan terbang
tersebut.
25. Malah seluruh kawasan antara Taman Teknologi Tinggi
Kulim hingga ke KXP akan menjadi zon pembangunan untuk industri
pembuatan dan perkhidmatan yang mengambil kesempatan akan wujudnya akses
kepada dunia luar melalui KXP. Ini memberi impak kepada percambahan
peluang kerja dan perniagaan.
26. Sepertimana seluruh kawasan
Kedah Utara mengalami pertumbuhan mendadak dalam tempoh yang singkat
dengan pembukaan Universiti Utara Malaysia di SintoIk, begitu jugalah
diharapkan akanberlaku kepada negeri kita, malah turut melimpah ke
negeri-negeri jiran seluruh Utara Semenanjung ini.
27. Industri
pelancongan menerima suntikan baru apabila Kerajaan memutuskan untuk
mengisytiharkan Tahun 2016 sebagai Tahun Melawat Kedah. Kempen ini
tentunya akan membuka ruang bagi meningkatkan hasil negeri dengan
kunjungan lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri kita ini.
28.
Setelah merancang strategi dengan penuh teliti, Kerajaan Tuanku kini
bersedia untuk melaksanakan program-program pembangunan ini. Pemacuan
transformasi Kedah kini bermula.
29. Ampun Tunku, sambil Kerajaan
Tuanku menekankan pertumbuhan ekonomi, tanggungjawab sosial juga tidak
diabaikan. Salah satu sebab tumpuan diberikan kepada ekonomi adalah
untuk menjana dana yang boleh digunakan bagi meringankan beban
masyarakat susah. Dengan itu yang rebah tidak terus tertindih.
30.
Antara lain, perkara yang menjadi fokus utama ialah pembinaan rumah kos
rendah dan mampu milik bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan
rendah dan sederhana. Sehingga kini, lebih 16,000 buah rumah telah dan
sedang dibina sejak patik mentadbir negeri.
31. In shaa Allah,
Kerajaan Tuanku akan mencapai sasaran untuk membina 40,000 buah rumah
kos rendah dan mampu milik dalam tempoh empat tahun.
32. Ampun
Tunku, untuk terus menegakkan syiar Islam, pelbagai program agama
diadakan yang melibatkan penyertaan muslimin dan muslimah di segenap
lapisan usia. Surau dan masjid sentiasa diimarahkan dengan
program-program ilmu.
33. Sukacita patik menyembah maklum bahawa
sepanjang 2014, sebanyak lapan buah masjid telah dibina baru dan
dibaikpulih di Negeri Kedah Darul Aman.
34. Tanggungjawab agama
ini dipentingkan kerana Kerajaan Tuanku sedar akan tugasnya untuk
bertindak sebagai khalifah Allah dengan menguruskan segala aspek sosial,
politik dan ekonomi agar sentiasa mendapat keredhaan Yang Maha Esa.
35.
Ampun Tunku, Kerajaan Tuanku akan terus mengamalkan perbelanjaan
berhemah. Laut ditimba akan kering. Usaha untuk menambah pendapatan
senantiasa ditingkatkan. Dalam keadaan payah umpama lampu kekurangan
minyak, perbelanjaan untuk membantu golongan yang bekeperluan akan
dibuat secara bijaksana dengan mengikut keutamaan.
36. Ampun
Tunku, bagi pihak diri patik mewakili seluruh rakyat Negeri Kedah, Ahli
Mesyuarat Kerajaan Negeri serta warga kakitangan awam di Negeri Kedah,
patik mohon berikrar sepenuh taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Sultan Kedah. Penyataan taat setia ini diterjemahkan dengan
iltizam untuk bekerja dengan lebih gigih dan beramanah demi kemakmuran
negeri dan seluruh Rakyat Tuanku.
Angkut-angkut terbang ke langit
Mati disambar anak merbah
Tertangkup bumi dengan langit
Setia tidak akan berubah37.
Patik sekalian berdoa kehadrat Allah SWT agar dilanjutkan usia Duli
Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah agar rakyat di
negeri ini terus bernaung di bawah pemerintahan Kebawah Duli Tuanku yang
bijaksana, adil dan saksama.
Daulat Tuanku.
Allahu Akbar
Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah Patik mohon diampun.
kredit - http://www.mukhrizmahathirfc.com