Tahniah ! Wira Lahad Datu
#PDRM Terima Pingat "Bintang Keberanian Kedah (BKK)."
Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna pada 2013 lalu masih
segar dalam ingatan rakyat Malaysia. Bagi ASP Mohamad Hasnal, Wira
insiden berdarah pencerobohan yang hampir meragut nyawanya sendiri,
melihat sahabat-sahabatnya gugur di depan mata mempertahankan negara
sudah pasti akan terus dalam ingatan sampai bila-bila.
Beliau telah dianugerahkan pingat kebesaran Bintang Keberanian Kedah (BKK) di Istana Anak Bukit semalam.
"Kalau saya dihantar lagi ke Lahad Datu dan Semporna, saya sanggup,
pengorbanan ini berbaloi," merupakan reaksi pertama ASP Mohamad Hasnal
Jamil terhadap soalan wartawan sama ada beliau sanggup jika dihantar
bertugas di kedua-dua daerah pantai timur Sabah itu.
Dilahirkan
pada 31 Mei 1982 di Pendang, beliau mengetuai senarai 77 penerima darjah
dan bintang kebesaran negeri bersempena Hari Keputeraan ke-87 Sultan
Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini.
Pingat-pingat
kebesaran itu disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah
Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Mohamad
Hasnal terlibat dalam insiden berdarah di Kampung Air Simunul, Semporna
pada 2 Mac 2013 yang mengakibatkan 10 musuh ditembak mati, 14 ditangkap
manakala enam anggota keselamatan pula terkorban.
Mohamad Hasnal
turut mengalami kecederaan parah dengan bahagian kepalanya luka akibat
ditetak dengan kapak, tangannya hampir putus juga akibat ditetak,
manakala tubuhnya terkena tiga tembakan dengan satu tembakan menembusi
perutnya.
Terharu dan bangga dengan penganugerahan BKK itu,
beliau melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri Kedah yang
memberi penghargaan di atas pengorbanannya.
"Saya rasa bangga
menerima pingat yang tertinggi di Kedah ini, ini menunjukkan perjuangan
kami di Sabah mempertahankan kedaulatan negara dihargai," katanya.
Beliau berkata, anugerah yang diterimanya hari ini sebenarnya bukan
untuk beliau seorang sahaja, tetapi dikongsi bersama enam anggota
keselamatan negara yang terkorban di dalam kejadian itu.
Mohamad
Hasnal berkata, perasaan sayang dan cinta kepada negara perlu ada di
dalam diri setiap rakyat bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan yang
dikecapi kini dapat terus dipelihara.
"Saya dan pasukan
terperangkap selama 22 jam (di kampung air itu), dapat kecederaan enam
kali, di perut dan tangan, ditetak di tangan tiga kali, masuk wad 3
minggu."
"Kalau siapa datang pun lawanlah. Kita berjuang bukan untuk anugerah pun, tapi untuk negara," kata Mohamad Hasnal.
Enam anggota polis yang terkorban di dalam kejadian berdarah di Kampung
Air Simunul itu adalah Supt Ibrahim Lebar, ASP Michael padel, Sarjan
Baharin Hamit, Sarjan Abdul Aziz Sarikon, Koperal Salam Togiran dan Lans
Korporal Mohd Azrul Tukiran.
Mohamad Hasnal yang sudah beristeri
dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun kini bertugas di
Cawangan Khas, Bukit Aman.
kredit to-www.mukhrizmahathirfc.com